Get Mystery Box with random crypto!

CUKUP Walaupun ketika kita menikmati saat bahagia dan hanya i | DEAR HATI 🌹💕 @DearHati

CUKUP

Walaupun ketika kita menikmati saat bahagia dan hanya insan terdekat sahaja yang tahu, rasakan ia cukup.

Saat kita melihat kejayaan demi kejayaan anak atau prestasi dalam pekerjaan, perniagaan atau kehidupan, kita dan hanya insan terdekat yang tahu, rasakan ia cukup.

Saat kita sakit atau dalam ujian, dan kita sangat struggle menguruskannya, hanya diri atau insan terdekat sahaja yang tahu, maka rasakan ia cukup.

Sebenarnya, apa sahaja cerita dalam hidup kita atau orang lain, ukuran utamanya kita menikmati dan mensyukurinya pada Ilahi kerana menjadi hamba yang mentaatiNya dengan hati dan diri.

Maka, bukanlah bila ada yang tidak pernah berkongsi tentang kebaikan suaminya bermaksud suaminya tidak membahagiakan. Tidak berkongsi kecemerlangan atau pujian terhadap anak bukanlah bermaksud anak mereka tidak membanggakannya. Tidak berkongsi tentang prestasi dan kualiti hidup mereka, maka dianggap tidak mendaki tangga kejayaan.

Ramai dalam kalangan kita yang berjaya dan bahagia tapi tidak berkongsi di media sosial, mereka rasa cukup dengan menikmati dan mensyukurinya dalam ruang mereka sahaja, namun tetap memuji dan mengucap tahniah kepada yang berkongsi, dalam hatinya tiada rasa iri hati atau mencemuh, kerana faham semua orang ada cara dan tujuannya.

Sebahagian kita suka atau sekali sekala berkongsi bukan kerana suka menunjuk atau memuji diri, namun boleh jadi kerana ingin beri ilham atau contoh kepada yang memerhati. Saya bila melihat dan membaca posting sahabat atau secara random yang kenal atau tidak, saya selalu memerhati sesuatu dengan dalam, hingga banyak tindakan dan keputusan yang dibuat hasil pemerhatian, muhasabah dan kajian tidak rasmi di Media Sosial. Saya dapat banyak manfaat dan ilham daripada sahabat semua. Jadi, tidak salah kepada yang suka atau sekali sekala berkongsi, itu juga sebagai tanda kita mensyukuri .

Tuan Puan,

Kembali kepada tajuk, bahaya apabila nilai rasa cukup semakin susah untuk dicapai, contohnya, ramai yang mula rasa bahawa ucapan dan doa yang tulus sahaja tidak cukup untuk satu hari istimewa seperti hari lahir atau ulang tahun pernikahan. Media sosial sangat mempengaruhi diri dan generasi, sedangkan dulu kita ok sahaja bila tiba hari lahir, hanya dapat doa dan ucapan, ketika tu kita tidak tahu jiran rumah sebelah atau kenalan yang jauh dapat apa ketika hari lahir mereka. Tapi sekarang, semuanya terbuka.

Ada waktunya, untuk melatih rasa cukup pada diri dan anak dan memberi rasa manis walaupun ketika tidak dapat apa yang dibayangkan adalah dengan ILMU.

Iya, saat hari lahir anak tiba, ada waktu disambut dengan sedikit majlis bersama keluarga kecil kami dengan hanya sebiji kek, ada waktunya tiada apa-apa. Lalu dijelaskan bahawa kek itu tidak mesti, yang wajib adalah mensyukuri Allah dan berterima kasih pada Umi dan Abi serta siapa yang telah bersama sehingga saat ini. Berkenaan hadiah atau majlis, kita selalu bersama dan sentiasa saling memberi itu lebih utama. Bila angguk dan senyum, maksudnya dia faham. Dan biasa saya beri juga hadiah bukan kerana hari lahir, tetapi kerana anak itu semakin matang.

Ada waktunya, ramai pekerja tak rasa cukup dengan apa yang dia dapat daripada majikan samada gaji, penghargaan atau layanan. Kerana luasnya batasan rasa cukup itu dinilai daripada perbandingan dengan apa yang dilihat dan didengar daripada individu lain.

Begitulah pula majikan, juga mengalami isu yang sama.

Maka, disinilah pentingnya bagaimana ada ketikanya mencari sebab lain untuk manisnya rasa cukup. Contoh, pasangan tidak seperti yang kita impikan, jauh sangat daripada apa yang dibayangkan, namun dia mudah membantu apabila diminta, walaupun yang kita harap pasangan sendiri tahu apa yang perlu dibuat tanpa diminta, namun sekurangnya dia bukan menolak !

Begitulah, ada ketika jika tak rasa cukup kerana keinginan, maka cukupkan kerana kesyukuran.



Nukilan daripada Bumi Makkah alMukarramah.

Asma’ binti Harun

Jom join telegram
@DearHati