Get Mystery Box with random crypto!

Dua gerhana di bulan Ramadan tanda kemunculan Imam Mahdi ? 1) | AstroMet Malaysia

Dua gerhana di bulan Ramadan tanda kemunculan Imam Mahdi ?

1) Setakat hari ini, tiada satu pun catatan daripada mana - mana pihak yang menunjukkan pernah berlakunya peristiwa gerhana Bulan di awal Ramadan dan gerhana Matahari di pertengahan Ramadan kerana ia telah menyalahi Sunatullah.

Gerhana Matahari hanya boleh berlaku di akhir bulan hijrah ketika Bulan memasuki fasa Bulan baru manakala gerhana Bulan hanya berlaku di pertengahan bulan hijrah ketika Bulan purnama.

Tambahan pula dua gerhana di Bulan Ramadan tidak membawa sebarang petanda yang luar biasa kerana ia peristiwa yang pernah berlaku banyak kali antaranya ialah pada Tahun 1916 , 1917 , 1937 , 1938 , 1959 , 1960 , 1981 , 1982 dan banyak tahun lagi.

2) Para Ulama menyatakan hadis yang menyentuh kemunculan Imam Mahdi yang ditandai dengan gerhana Bulan di awal Ramadan dan gerhana Matahari di pertengahan Ramadan adalah sangat lemah untuk dijadikan sandaran atau hujah yang kukuh kerana terdapat masalah pada sanad Hadis dan perawinya. Sanadnya tidak sampai kepada Rasulullah manakala terdapat seorang perawi yang tidak boleh dipercayai yang bernama Amar bin Shamir.

Imam Dar al-Qutni yang meriwayatkan hadis ini menyatakan bahawa perawi ini tidak boleh dipercayai. Riwayat tersebut sememangnya ada disebut dalam Kitab Sunan Dar al-Qutni melalui jalan riwayat yang berlainan. Namun para ulama hadis menyatakan bahawa hadis ini adalah munqati’ dan Amar bin Shamir merupakan seorang yang sangat diragui. Di dalam kitab Mizanul I’tidal, Imam al-Dzahabi telah mengumpulkan ulasan para ulama mengenai terhadap Amar bin Shamir. Antaranya: Imam Yahya Bin Mu’en berkata: “Perawi yang tidak dikenali”. Berkata Imam Jauzjani: “Dia seorang penipu”. Ibni Hibbaan menyatakan: “Seorang Syiah yang mencaci sahabat dan mereka-reka hadis dengan menggunakan nama-nama ulama yang berautoriti”. Berkata Imam Bukhari: “Hadisnya munkar.” Imam Yahya berkata: “Perawiannya tidak patut diterima”. Berkata Imam Sulaimani: “Amar mereka-reka cerita bagi menyokong dakwaan Syiah”. Imam Nasaai berkata: “Perawiannya ditolak.”
..

3) “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu sembahyang”, dan baginda bersabda: “maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari)”

Riwayat al-Bukhari (1058) dan Muslim (901).