Get Mystery Box with random crypto!

GERHANA MATAHARI SEPARA HIASI LANGIT MALAYSIA . Pada esok har | AstroMet Malaysia

GERHANA MATAHARI SEPARA HIASI LANGIT MALAYSIA .

Pada esok hari, 20 April 2023, akan berlaku peristiwa gerhana Matahari Hibrid yang melibatkan ketiga - tiga jenis gerhana Matahari iaitu gerhana Matahari Cincin/Anulus, gerhana Matahari Penuh dan juga gerhana Matahari Separa.

Untuk gerhana kali ini, kita di Malaysia hanya berpeluang menyaksikan gerhana Matahari separa memandangkan negara kita tidak berada di dalam laluan tengah bayangan gerhana Matahari Hibrid yang selebar hanya 49 Kilometer sahaja.

Gerhana Matahari Hibrid ini agak unik dan jarang berlaku. Ketika gerhana Matahari Hibrid berlaku, laluan tengah bayangan gerhana bermula di dalam bentuk gerhana Matahari cincin atau Anulus. Kemudian apabila bayangan gerhana semakin hampir ke kawasan pertengahan laluan, ia berubah menjadi gerhana Matahari Penuh dan kemudiannya kembali menjadi gerhana Matahari cincin di hujung laluan bayangan gerhana manakala kawasan yang berada di luar laluan tengah bayangan gerhana hanya berpeluang menyaksikan gerhana Matahari Separa.

Dalam erti kata lain, ada kawasan di Bumi yang akan menyaksikan gerhana Matahari Cincin, ada yang akan menyaksikan gerhana Matahari Penuh dan ada yang hanya dapat menyaksikan gerhana Matahari Separa.

Gerhana Matahari Cincin dapat disaksikan di sebahagian kecil lautan Hindi Timur dan lautan Pasifik Selatan manakala gerhana Matahari Penuh dapat disaksikan di sebahagian kecil Australia barat, Timur-Leste, Papua Barat, Papua dan beberapa Atol ( pulau batu karang ) di wilayah Oceania.

Kawasan yang hanya dapat menyaksikan gerhana Matahari Separa pula mencakupi Asia Tenggara, sebahagian kecil Asia Timur dan Wilayah Oceania.

WAKTU GERHANA MATAHARI BERMULA DAN BERAKHIR .

Secara keseluruhan, gerhana Matahari Hibrid akan bermula dari jam 09:34 AM iaitu di Lautan Hindi Timur ketika Matahari terbit dan berakhir pada jam
02:59 PM di Lautan Pasifik Selatan ketika Matahari terbenam.

Gerhana Maksimum pula berlaku pada jam 12:16 PM dengan durasi maksimum sekitar 01 minit 16 saat
..

Di Semenanjung Malaysia, umumnya gerhana Matahari Separa akan bermula seawal sekitar jam 10:55 AM sehingga yang paling lewat sekitar 11:28 AM dan berakhir sekitar jam 12:24 PM sehingga yang paling lewat sekitar jam 01:01 PM.

Di Malaysia timur pula gerhana Matahari Separa akan bermula seawal sekitar 10:52 AM sehingga yang paling lewat sekitar jam 11:16 AM dan berakhir sekitar jam 01:22 PM sehingga yang paling lewat sekitar jam 01:57 PM.
..

* Waktu yang dinyatakan adalah waktu umum untuk keseluruhan fasa gerhana di Malaysia. Waktu bermula sehingga berakhir serta kemuncak gerhana di setiap kawasan adalah berbeza.

Untuk menyemak waktu yang lebih terperinci di kawasan anda, boleh ke pautan yang tertera :-

( http://xjubier.free.fr/en/site_pages/solar_eclipses/HSE_2023_GoogleMapFull.html )

Atau di :-

( https://www.timeanddate.com/eclipse/globe/2023-april-20 )
..

Peratusan piringan Matahari yang dilindungi Bulan yang boleh disaksikan di Semenanjung Malaysia ketika gerhana nanti agak Kecil iaitu dalam lingkungan sekitar 1.5% sehingga 16.3% manakala di Malaysia Timur dalam lingkungan sekitar 27% sehingga 45% sahaja tetapi masih tetap menarik untuk disaksikan.

Selepas peristiwa gerhana Matahari ini, akan berlaku pula gerhana Bulan Penumbra yang dapat disaksikan di Malaysia menjelang tengah malam 05 Mei 2023 sehingga awal pagi 06 Mei 2023. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kesemua peristiwa Astronomi yang menarik ini. Tandakan di kalendar masing-masing.

Wallahu A'lam .