🔥 Burn Fat Fast. Discover How! 💪

#KoleksiTokAwangNgah ORANG TUA KELUAR DARI KEPULAN ASAP (Bab | Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin

#KoleksiTokAwangNgah

ORANG TUA KELUAR DARI KEPULAN ASAP

(Bab 20 bahagian 2)

Ketika mereka berkumpul adik beradik ini terbau bau asap seperti sampah terbakar. Disebabkan masih lagi siang iaitu kira-kira jam 6.00 petang, maka dapatlah dilihat asap itu datangnya dari hujung pagar. Memang lubang sampah ada disitu, tetapi siapa pula yang membakar sampah.

Dalam masa sampah terbakar mengeluarkan asap pekat tiba-tiba saja meja makan di dapur terangkat setinggi kira-kira sekaki beralih tempatnya, sampai kedepan tangga dapur ke induk rumah. Eton cepat-cepat berkejar mahu mempastikan samaada angin bertiup kuat atau tidak, baru dia berkejar ke pintu dapur, peti ais pula terangkat kira-kira sekaki juga dan dialihkan ke ruang tengah.

Terpekik Ijah yang mengikut kakaknya di belakang melihat kejadian tersebut. Belum pernah dia melihat kejadian aneh seperti ini, yang tiba-tiba sahaja berlaku ketika mereka adik beradik berkumpul.

Bachik pula berkejar menahan peti ais itu menguji kuasa apakah yang melakukan perbuatan itu. Tetapi dia tidak merasa apa-apa kuasa pun selain dari peti ais itu terangakat sendiri saja.
Talip mengambil penyapu memukul di bahagian peti ais, kerana dia pernah mendengar petua supaya melakukan demikian. Sekalipun dipukul dengan penyapu tidak ada juga tanda-tanda diagakkan perbuatan siapakah itu. Selepas peti ais terangkat, kerusi meja di serambi pula berpusing dengan tidak bersebab.

“Macam mana ni bang?” Talip keheranan tidak tahu apa yang hendak dibuat. Cepat-cepat dia mengambil pil yang dibekalkan oleh doktor. Ketika dia meminum air bagi menelan pil didapati air itu merah macam bercampur dengan darah.

Ijah sekali lagi terkejut kerana didapati jenang pintu yang dipegangnya pun merah dengan darah. Berlari dia mendapatkan emaknya semula.
Eton juga tidak berani ke dapur. Meremang bulu romanya bila mahu melangkah ke dapur untuk membetulkan meja makan. Tingkap juga terbuka terkatup seperti ditiup angin pada hal angin tidaklah bertiup kencang. Talip dan Bachik cuba menutup tingkap itu supaya berhenti terbuka terkatup, tetapi dimana tempat yang dipegang terpalitlah darah merah yang masih cair seperti darah hidup.

Bertambah heranlah mereka dengan kejadian itu. Selama ini hanya mendengar keanehan tersebut dari emak ayahnya saja, tetapi sekarang mereka sendiri melihatnya. Sementara mereka semua kelam kabut, Kadir pula hanya tersandar juga tidak melakukan apa-apa. Dia duduk di hujung kaki ayahnya seperti tidak menghiraukan keadaan adik beradik yang kelam kabut itu.

Selepas 15 minit kejadian itu terus juga berulang. Kadir bangun dari duduknya lantas mengambil wuduk, nasib baik pula apabila dia mengambil wuduk tidak ada kesan darah keluar dari kepala paip. Selepas itu dia pun terus azan, semua kejadian aneh yang mereka lihat tadi hilang sama sekali. Asap yang tebal dari lubang sampah juga hilang tidak ada kesan langsung yang sampah di situ dibakar.

“Tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang boleh melawan kuasa Allah,” Kadir memarahi keluarganya kerana selama ini mereka selalu saha menganggap pandangannya sebagai fanatik.

“Buat apa kita syak wasangka padahal diri sendiri yang melupakan Allah,” ujarnya lagi.

“Tak ada siapa melupakan Allah,” sahut Semah memandang anaknya Kadir mengesat air mata.

“Kalau tak lupakan Allah, masakan syaitan datang menganggu “ jelas Kadir masih kecewa dengan sikap keluarganya selama ini yang lebih mementingkan harta dunia sehingga melupakan amal ibadat.

Tetapi dia tidak berdaya menghalang mereka, kerana masing-masing ada kebebasan. Sekiranya keluarga dalam keadaan miskin tentu menyusahkan masyarakat juga. Bagaimanapun harapan Kadir bukanlah tidak mementingkan langsung harta dunia, kerana semua manusia dikehendaki mencari rezeki. Tetapi janganlah kerana mencari rezeki sampai melupakan suruhan Allah, sampai tidak campur gaul dengan masyarakat, sampai tidak hiraukan orang sekeliling.