🔥 Burn Fat Fast. Discover How! 💪

Apabila anak-anak balik semula ke rumah masing-masing, Jubir d | Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin

Apabila anak-anak balik semula ke rumah masing-masing, Jubir dan isterinya kembali seperti biasa. Pagi lagi selepas subuh, mereka ke bandar berniaga di pasar. Jubir akan meraih ikan, ketam, kerang di Jeram. Memang teringat juga akan pesan Kadir supaya jangan tinggalkan solat zohor dan asar, tetapi dalam keadaan kotor dan berbau tidak jadilah dia solat. Sementara Semah juga tidak dapat mahu solat, kerana sukar mahu membawa telekung dan kemudahan berwuduk.

Hanya 3 minggu selepas kejadian aneh itu, sekali lagi Jubir terkejut apabila sampai ke rumah kira-kira jam 9.00 malam, keadaan rumahnya, seperti kejadian sebelum itu juga. Pintu dan tingkap-tingkap terbuka. Barang-barang perabut bersepah seperi diselongkar orang.

Besoknya dia ke Rembau menemui dukun yang menanam rumput sambau di empat ppenjuru rumah. Bagaimanapun dukun berkenaan enggan mengulangi kerjanya, kerana dia sendiri semasa balik dari mengubat Jubir telah dihalang oleh asap. Hampir lemas dia apabila diserbu oleh asap yang tidak tahu dari mana datangnya.

“Carilah orang lain pula Cik Jubir” ujar dukun itu lemah. “Kalau dah tak ada nanti, saya boleh cuba lagi” katanya memberi jaminan yang tidak boleh diharap sangat.

Setelah itu Talip membawa ayahnya berjumpa seorang lagi dukun di Kelebang dekat Melaka. Dukun itu enggan pula datang ke Tanjung Karang tetapi memberikan air yang sudah dijampi, disuruh siramkan ke sekeliling rumah. Dua minggu sahaja gangguan tidak ada, tetapi selepas itu berlaku lagi.

“Kerana terpaksa mencari dukun, ayah pun tak dapat berniaga, iya tak? “ Kadir menyindir bila diberitahu kepadanya.

“Jadi apa salahnya ayah berniaga sampai pukul empat petang saja, lepas tu balik. Buat apa berniaga sampai pukul 9.00 atau 10.00 malam baru nak balik ke rumah” katanya macam memarahi kedua orang tuanya.

Kadir membawa ayahnya berjumpa dengan seorang kawannya di Gedangsa itu bernama Saleh yang bekerja menjadi kerani di Kuala Lumpur.

Saleh pernah jatuh dari jeram tatkala berkelah menyebabkan tulang rusuknya patah. Dia telah dimasukkan ke hospital, hampir sebulan terlantar. Tetapi setelah ditepuk-tepuk oleh ayah saya, dia sudah boleh berjalan sendiri walaupun masih tertenjot-tenjot. Apabila Kadir menceritakan masaalah yang dihadapi oleh ayahnya itu kepada Saleh, lantas Saleh mengajak Kadir menemui ayah saya itu.

Semasa saya balik ke kampung kerana Hari Raya Haji , ayah saya memberitahu mengenai Jubir menghadapi masalah itu.

“Tapi, Tanjung Karang itu jauh,” beritahu ayah saya.

Sebenarnya dia belum memutuskan sama ada mahu pergi atau tidak, kerana ayah saya tidak akan pergi kalau tidak bersama dua tiga orang lagi rakannya. Dia tidak akan melakukan berseorangan, tetapi mesti dibantu oleh rakan-rakannya.

Ketika saya ada di rumah ayah saya ini rakan-rakannya juga ada. Mereka berbual-bual dengan saya mengenai beberapa kejadian yang pernah ditempuhnya semasa mengikut ayah saya mengubati orang.

“Bukan kita yang mengubati orang” saya mengingatikan mereka. “Kita hanya berdoa, hanya dengan izin Allah saja orang yang kita dokan itu boleh sembuh,” ujar saya.

Abang Unus kawan ayah saya itu tersenyum, kerana dia tahu saya seorang yang rajin belajar ugama. Dia pernah berguru dan mempelajari Usuluddin dari seorang guru agama murid Tok Kenali , Kelantan.

“Itulah yang saya datang ke sini kalau dengar ustaz balik. Saya dah banyak dengar dari ayah ustaz, fasal ramai orang datang nak berubat dengan ustaz.” Abang Unus tersengih-sengih.

Selalunya kalau saya balik ayah akan memberitahu kawan-kawannya terutama Abang Unus dan Mat Haidi yang selalu mengikut dia kalau dipanggil orang. Abang Unus dan Mat Haidi akan segera datang untuk berbual-bual dengan saya.
Dari Abang Unus inilah baru terbuka cerita dari Tanjung Karang Jubir yang meminta ayah saya datang ke rumahnya. Biasanya ayah saya tidak mahu bercerita kemana akan pergi, malah dengan emak saya pun dia tidak akan menceritakan kalau ada orang mengajaknya mengubati orang sakit.

“Eloklah ustaz ikut kami sekali” kata Mat Haidi pula. “ Malam esok Pak Cik Jubir tu datang jemput” dia memberitahu.